U Are Visitors Number

"Bimbangkanlah waktu senang kerana saat itu pelbagai ujian akan menjema..."

Blog Stat

Khamis, 29 Oktober 2009

Ajaran Batiniah

Berasal dari perkataan al-Batin yang bermaksud 'dalaman' lawan kepada 'zahir' atau 'luaran',setiap yang lahir itu mesti ada dalamannya atau isi setiap wahyu itu ada dalamannya atau isi dan ada pula takwilnya, mengikut tasawuf Batiniah adalah satu fahaman yang membahaskan Batin iaitu mengajar seseorang mengenali batin iaitu mendidik seseorang membaiki hati/dalamannya, fahaman ini lahir di Iran kemudian merebak ke seluruh dunia, disifatkan sebagai satu cara halus yang meresap masuk ke dalam ajaran islam dan merosakkan akidah umat islam tanpa perlu berperang atau melalui kekerasan.


Aspek ketuhanan

- Mereka mengatakan tuhan itu ada 2 yang qadim (lama) tanpa didahului zaman, tuhan yang pertama dinamakan Al-Sabiq dan yang kedua dinamakan Al-Tali, daripada Al-Sabiq menjadi Illah (sebab) kepada tuhan yang kedua iaitu al-tali,alam ini diciptakan oleh Al-Sabiq dengan perantaraan Al-Tali, Al-Sabiq dan Al-Tali tidak boleh disifatkan dengan sebarang sifat, tidak bernama dan bukanlah dia yang menciptakan Adam.

Konsep Alam

- Alam ini qadim, dari Al-Sabiq lahirnya Al-Tali pencipta pertama mencipta nafsu dan jiwa dalam keadaan tersusun, dari gerakan nafsu lahirnya panas, diamnya nafsu lahirnya sejuk, hasil dari panas sejuk terjadinya kering dan lembap, dan menghasilkan unsur yang empat iaitu tanah, air, api, angin dan dari 4 unsur itu lahir pula galian, tumbuhan, haiwan dan insan.

Konsep Kenabian

- Hampir sama dengan pendapat ahli falsafah,nabi itu anugerah dari Al-Sabiq melalui Al-Tali, yang mana nabi itu boleh diukir dengan nafsu al-kuliyyah (keseluruhan nafsu) bukanlah dari juziyyat(sebahagian) sepertimana alam tadi. Pendapat mereka setiap zaman akan lahir orang maksum yang setaraf dengan nabi, yang boleh mentakwilkan nas-nas seperimana nabi, mereka menyatakan imam itu samalah dengan orang suci yang boleh melihat dalam mimpi apa yang akan berlaku beza mereka dengan nabi, nabi boleh melihat dalam sedar atau jaga. Dan beza imam dengan nabi itu juga ialah imam tidak menerima wahyu, nabi pula menerima wahyu.

Konsep Kiamat

- Batiniah ini menafikan kiamat, pada mereka tuhan tidak bodoh menciptakan alam dengan cantik kemudian memusnahkannya. Tanda atau alamat Kiamat adalah dengan munculnya imam, antara lain golongan ini mengingkari adanya Mahsyar, Bangkit,dari kubur, Syurga dan Neraka dan semua itu ditakwilkan mereka.

Taklif Syarak 

- Menurut Al-Ghazali, Batiniah mengingkari adanya hukum taklif yang 5, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus, bagi mereka semua hukum itu harus,menurut mereka kalaulah mengikut syarak hendaklah mengikut imam, bukan mazhab seperti: Mazhab Hambali,Maliki, Hanafi dan Syafie. Apabila ditinjau dari sudut batin itu sendiri maka tiadalah ikatan taklif

Contoh tafsiran Batiniah

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ المْيْتَةُ
Terjemahan: Diharamkan kepada kamu (memakan bangkai binatang yang tidak disembelih)
Surah al-Maidah 3

Kami dan kamu tidak boleh makan daging sembelihan sehinggalah binatang itu mati, antara lain ikan tidak boleh dimakan sehinggalah ianya mati, untuk itu sesudah Nabi wafat maka tidak boleh ditegakkan syariatnya lagi. Kita mesti patuh terhadap guru kita sahaja. Kerana ia adalah Hujah Allah.

وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَرُواْ..

Terjemahan : ...dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.
Surah al-Maidah 6

Ayat tersebut ditafsirkan sebagaimana berikut: iaitu sekiranya kamu sekalian tidak mengetahui mengenai ilmu batin, maka hendaklah kamu mempelajarinya. Maka ketahuilah bahawa ilmu batin itu menghidupkan jiwa,sebagaimana air menghidupkan badan.

Tiada yang baik mengenai ajaran Batiniah ini melainkan ianya hanya memesongkan akidah umat islam secara halus.
Read More

Jumaat, 9 Oktober 2009

Halusinasi yang membawa kepada penyakit mental



Halusinasi adalah terjadinya tanggapan dalam kondisi sedar tanpa adanya rangsangan  nyata terhadap deria. Kesan dari tanggapan itu dirasakan oleh pesakit sangat jelas, substantion dan berada dari luar ruang nyatanya. Definisi ini dapat membezakan halusinasi dengan mimpi,ilusi,berkhayal dan pseudohalusinasi (tidak sama dengan taggapan sebetulnya namun tidak dalam keadaan terkawal). Contoh dari fenomena ini adalah dimana seseorang mengalami gangguan penglihatan, dimana ia merasa melihat suatu objek, namun deria penglihatan orang lain tidak dapat menangkap objek yang sama.
Halusinasi juga harus dibezakan dengan bayangan pada tanggapan, dimana deria menangkap sesuatu nyata, namun tanggapan nyata yang diterimanya itu diberikan makna yang  berbeza. Sehingga orang yang mengalami bayangan lebih percaya kepada hal-hal yang atau tidak masuk akal.
Halusinasi dapat dibagi berdasarkan deria yang bereaksi saat tanggapan ini terbentuk,ada 5 semuanya, saya huraikan 2 sahaja.
  • Halusinasi visual
  • Halusinasi auditori
 Pencetus terjadinya halusinasi
  1. Sakit dengan panas tinggi sehingga mengganggu keseimbangan tubuh.
  2. Gangguan jiwa Skizofernia
  3. Penggunaan  dadah tertentu seperti : ganja, kokain, morphin dsb
  4. Memaksimumkan alkohol berkadar diatas 35% : seperti vodka, wain diatas batas sewajarnya
  5. Trauma yang berlebihan.
 Halusinasi visual



Halusinasi visual umpamanya seseorang yang tanggapan pengalaman lalu berbentuk kemalangan ngeri yang dihadapi, kematian anak atau orang terdekat, bayangan jin, atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kebingungan yang melampau. Halusinasi yang dialami oleh penagih yang mengambil dadah,pil tidur, secara overdose adalah antara halusinasi keseronokan melampau dan menyebabkan mereka di bawah kawalan separuh sedar.

Halusinasi auditori




Halusinasi auditori dalam  erti kata lain halusinasi bukanlah selalunya hadir secara langsung, akan tetapi ianya juga adalah satu perkara yang tidak langsung, penyebab berlakunya halusinasi ini tidak boleh dikhususkan, ini kerana ianya hadir dengan pelbagai cara, seseorang yang karam di laut beberapa hari dan kemudian menelan air laut bagi menghilangkan dahaga akan memberikan kesan penyahidratan yang teruk kepada otak dan mereka tidak dapat berfikir seterusnya merangsang halusinasi seakan mendengar bunyi bot, helikopter, dan sebagainya datang menyelamatkan mereka, serta mendorong mereka melakukan perkara diluar dugaan yang akhirnya membawa kepada kematian.
  

Bagaimana cara mengatasi halusinasi?

Jika anda seorang yang mempunyai masalah ini, cara mudah yang boleh dikongsi di sini ialah dengan berfikiran positif dan menerima takdir yang ditentukan ilahi dengan hati yang redha, menerima hakikat hidup, mati, jodoh, pertemuan semua ditentu ALLAH, dan berpegang dengan qada dan qadar. Perlu juga fahami apa itu qada muallaq dan qada mubram. Fikirkan ikhtiar hidup yang terbaik jika berada dalam kesempitan untuk hidup. Dekatkan diri dengan ALLAH tidak kira dalam kesenangan atau kesusahan kerana dia maha mengetahui segalanya.

Pepatah arab mengatakan  العقل السليم في الجسم السليم
Akal yang sihat dalam tubuh yang sihat

Read More

Rabu, 30 September 2009

Mazhab Akidah Qadariah, Jabariah, dan Muktazilah

Penghujung abad pertama Hijrah berlaku beberapa fahaman menyebabkan kafir mengkafirkan sesama islam dan sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat islam serta muncul beberapa mazhab yang cuba mentajsimkan atau mentasyhbihkan sifat ALLAH sehingga terpesong dari akidah islam, beberapa mazhab yang dapat penulis kongsi disini antaranya:

Qadariah

Qadariah dinisbahkan dari perkataan Qudrat. Golongan ini beriktikad bahawa segala perbuatan manusia itu samada baik atau buruk adalah lahir dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri, tiada hubung kait dengan kuasa ALLAH, pengasas mazhab ini ialah Ma’bad ibn Khalid al Juhani dan Ghailan al-Dimasyqi. Mazhab ini lahir di Basrah oleh sebab pertikaian umat islam tentang persoalan qada dan qadar ALLAH, nama mazhab ini diambil dari al-qadar. Mereka mengatakan bahawa segala usaha dan perbuatan manusia itu terjadi dengan kehendak mereka sendiri. Antara lain mengenai iktikad qadariah ini ialah:
a. Manusia bebas melakukan sesuatu mengikut kemahuan yang kesannya adalah dari manusia, akan tetapi dengan qudrat yang diberikan ALLAH kepada manusia.
b. Percaya ALLAH tidak membuat apa-apa takdir kepada manusia
Iktikad ini tidak tepat kerana setiap perbuatan manusia kebanyakan tidak tercapai dimana jika manusia itu berkuasa mestilah tiada yang sakit, hidup kemiskinan sengsara dan sebagainya. Fahaman ini adalah melampau sama sekali.

Jabariah

Berasal dari perkataan al-jabr atau jabrun yang bermaksud tergagah atau digagahi. Muncul di Kufah pada zaman pemerintahan Umaiyah yang dibawa oleh seorang lelaki bernama Jaham ibn Safuan dari Khurasan, mazhab ini beriktikad bahawa manusia itu dipaksa dan digagahi sepenuhnya oleh ALLAH, manusia itu langsung tidak berkemampuan melainkan ALLAH dan manusia seperti kapas dan debu yang ditiup angin. Segala buruk dan baik itu ALLAH yang melakukannya ke atas manusia. Antara lain mazhab Jabariah mengatakan:

a. Syurga dan neraka tidak kekal kerana yang kekal adalah zat ALLAH sahaja, kekal yang di dalam al-Quran itu bermaksud lama sahaja
b. Kitab ALLAH baru
c. Allah tidak dapat dilihat pada hari akhirat kelak
Ini kerana mereka berpegang kepada firman ALLAH:

اللهُ خَلِقُ كُل شَيْء ٍ(الزمر 62)
Terjemahan : ALLAH yang menciptakan tiap-tiap sesuatu….

Muktazilah

Berasal dari perkataan I’tazlaa yang bermaksud mengasingkan diri dari puak, lahir semasa kurun kedua Hijrah dan diasaskan oleh Wasil ibn ‘Ata’ yang keluar dari halaqah imam Hasan al- Basri yang tidak sependapat dengan gurunya tentang masalah dosa besar, bagi Wasil orang yang melakukan dosa besar tidak mukmin dan tidak kafir, akan tetapi mereka berada di satu tempat di antara dua tempat al-manzilah baina manzilatain atas dasar tersebut mereka menubuhkan mazhab baru dan bergantung kepada 5 prinsip mereka iaitu:

a. al tauhid
b. al-Adl
c. al-Wa’ad wa al-Wa’id (janji baik atau buruk)
d. satu tempat di antara dua tempat al-manzilah baina manzilatain
e. al-Amr bi al-ma’ruf dan Nahy ‘an al-Munkar.

Prinsip pertama (tauhid)

- menafikan sifat azali ALLAH mengatakan semua sifat ALLAH itu baru
- menafikan azali kalam ALLAH dan al-quran itu baru
- ALLAH tidak dapat dilihat di hari akhirat

Prinsip kedua (al-Adl)

-manusia betanggungjawab ke atas perbuatan mereka dan ALLAH tidak mencipta perbuatan manusia samada baik atau buruk, hanya kudrat diberi kepada manusia untuk membuat pilihan melakukan atupun tidak, segala keburukan ALLAH tidak bertanggungjawab,dengan prinsip ini mereka menggelarkan diri mereka ahli tauhid dan keadilan.

Prinsip ketiga (al-Wa’ad wa al-Wa’id (janji baik atau buruk)


- golongan ini yakin bahawa ALLAH wajib tunaikan janjinya, amalan baik akan mendapat pahala, amalan buruk akan mendapar dosa dan ditempatkan di neraka,tuhan tidak boleh memungkiri janji, bagi mereka yang melakukan dosa besar mereka tidak diampun melainkan bertaubat,orang yang baik tidak boleh dihalang dari mendapat pahala.

Prinsip keempat (satu tempat di antara dua tempat al-manzilah baina manzilatain)

Prinsip yang paling penting dalam Muktazilah,golongan ini beriktikad bahawa melakukan dosa besar selain syirik tidak mukmin dan tidak kafir tetapi mereka mengambil jalan tengah dengan mengatakan ‘fasik’. Maksiat bagi mereka terbahagi dua iaitu 1. Syirik: hukumnya kafir 2. Melakukan dosa besar hukumnya fasik

Prinsip kelima (al-Amr bi al-Alma’ruf dan Nahy ‘an al-Munkar.)

Berkait rapat dengan taklif hukum fiqh dan kepercayaan atau tauhid, mereka berdakwah kepada orang yang jahil dan sesat serta tanpa segan silu mereka melakukan hukuman bunuh walaupun sesama islam jika orang menyalahi pendirian mereka.

Pengaruh dari ahli falsafah Yunani menyebabkan golongan ini melampau dalam tauhid dan tanzih dalam ajaran islam yang sebenar.

Read More

Jumaat, 11 September 2009

Kesilapan Seorang Isteri


Cerita ini mengenai percintaan sepasang kekasih yang berakhir dengan perkahwinan, selepas berkahwin hidup mereka semakin bahagia sebagai suami isteri, tidak ada pergaduhan, perselisihan faham atau apa-apa petunjuk yang boleh meruntuhkan rumahtangga mereka. Pasangan ini saling memahami dan gigih memajukan perniagaan mereka.

Apabila si suami pulang dari bekerja, si isteri selalu menghulurkan air dan mengurut si suami yang keletihan, menyediakan makanan dan sebagainya, apabila tiba waktu solat pula si suami tidak pernah lupa mengejutkan isteri dari tidur dan mengingatkan isteri, begitulah kehidupan mereka seharian sehingga mereka dikurniakan seorang cahaya mata.

Beberapa tahun kemudian perniagaan suaminya semakin maju, banyak syarikat yang mahu bekerjasama dan melabur di syarikat suaminya. Oleh kerana kerja yang terlalu banyak si suami mula pulang lewat dari pejabat, pada awalnya si isteri masih lagi memahami akan kerjaya suami, namun akhirnya si isteri mula merasai hubungan mereka kian renggang di sebabkan kerjaya suaminya. 

Walaupun sibuk bekerja,si suami tidak pernah lupa akan tanggung jawabnya terhadap keluarga, hakikatnya si suami selalu mendoakan kesejahteraaan mereka. Si isteri mula menyimpan curiga terhadap suami. Tekanan mula dirasai oleh isteri dek kerana suami yang sudah mula “outstation” setiap bulan, walaupun kadangkala dibawanya bersama tidak juga menghapuskan rasa curiga isterinya. Si suami sebenarnya menyedari sikap isterinya yang ragu terhadap dirinya. Pun begitu demi menjaga kebahagiaan si suami tidak pernah membalas rungutan isteri terhadapnya.

Sehinggalah pada suatu hari si suami keluar atas urusan kerja selama beberapa minggu, si isteri yang tidak tahan lagi dengan sikap suaminya menghantar mesej memohon izin keluar dari rumah untuk mencari ketenangan dan memikirkan masalah rumahtangga mereka seumpama retak menanti belah,si suami memberi peluang kepada si isteri berfikir.  Si  isteri membawa anak keluar dari rumah dan menyewa di salah sebuah kondominium bagi menghilangkan tekanan dan memikirkan langkah seterusnya. Setelah mendapat keputusan si isteri menghantar mesej dan memberitahu si suami supaya menyenaraikan 10 keburukan tentang dirinya yang tidak disukai suaminya dan dia akan menyenaraikan 10 keburukan tentang suaminya yang tidak disukainya dan mereka akan berjumpa di tempat mula-mula mereka bertemu. Ambang keretakan rumahtangga mula di rasai, si isteri dengan pantas menulis semua 10 perkara yang buruk yang ada pada suaminya yang tidak disukainya.. antara yang ditulis isteri adalah seperti berikut:

-          Abang tidak menghargai saya sebagai isteri abang
-          Abang seorang yang mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan keluarga
-          Abang tidak menyayangi saya sebagai seorang isteri yang sentiasa taat kepada abang
-          Abang lebih senang berada di pejabat daripada di rumah bersama kami
-          Abang lupa akan kasih sayang yang saya curahkan dan lupa bahawa saya telah melahirkan zuriat abang


Itulah antara coretan 10 perkara buruk yang si isteri tidak suka terhadap suaminya, sampai waktu yang dijanjikan mereka, mereka bertemu di tempat cinta pertama mereka berputik. Suasana tidak lagi seperti keadaan mereka bertemu pertama kali dahulu, dalam suasana sayu itu kedua-duanya terdiam, setelah masing-masing menyerahkan kertas yang dibawa, si isteri berpaling dan terus berjalan pergi tanpa menoleh ke arah suaminya lagi, si suami memandang kelibat isteri dalam kekaburan malam dengan perasaan sayu, si isteri menyimpan kertas tersebut kerana memikirkan tentu banyak perkara buruk yang ditulis suaminya tentangnya.
Tiba-tiba berdering telefon bimbit si isteri, setelah memperkenalkan diri,
“Maaf puan, suami puan terlibat dalam kemalangan dan beliau meninggal di tempat kejadian,” desis suara di hujung talian.
Si isteri antara terkejut dan tidak mendengar berita berkenaan, setelah beberapa hari mayat suaminya selamat dikebumikan,  si isteri tergerak hati membaca apakah 10 keburukan yang ditulis oleh arwah terhadap dirinya..perlahan-lahan dibuka kertas tersebut dengan sedikit debaran..apabila terbuka isinya berhamburlah airmata si isteri apabila melihat apa yang ditulis suaminya…


“ Sepanjang saya hidup denganmu tiada apa keburukan pada dirimu melainkan setiap masa saya merasai kebahagiaan yang tidak terhingga..”
Read More

Selasa, 8 September 2009

Ustaz Bila Lagi?


Hari ini kali kedua saya bercakap di perhimpunan sekolah. 3 perkara yang saya ucapkan hari ini adalah:

1. Mengenai virus selesema babi, sempat saya memberi doa hari ini untuk dibaca oleh semua kelas
2. Perkara kedua bersempena Ramadhan ini saya telah membuat kuiz Ihya Ramadhan dan bagi tahap 2, Alhamdulillah disambut baik oleh semua murid, selepas waktu rehat semua soalan telahpun selamat diambil oleh murid-murid, dan sebelum pulang sudahpun ada sebahagian murid tahun 4 menghantar jawapan mereka.
3. Perkara ketiga saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada murid tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada esok hari.

Masuk kelas hari ini saya mengajar Surah Al-Ikhlas, masalah pertama saya terima hari ini kesukaran seorang anak murid menyebut ALLAH.. Puas saya tikrarkan dia, tidak juga dapat menyebut, sekali-sekala betul bila ditikrarkan lagi sudah berbalik semula pada asal. Susah sangat saya ambik pendekatan memegang rahang mulutnya dan suruh dia tikrarkan lagi perkataan tersebut. Masih juga tidak boleh, akhirnya saya menyuruhnya tikrarkan lagi di rumah. Esok mungkin boleh atau tidak lagi..cabaran..

Habis kelas sebelum rehat saya mengatur langkah ke perpustakaan, sambil berbual-bual di sana bersama guru-guru lelaki, sedar tidak sedar hampir pukul 12 tengah hari, saya memasukkan laptop ke dalam beg dan menuju ke bilik guru, masih berbaki masa ketika di sana, saya duduk di kerusi sambil memetik 'games' handset, datang Guru Besar masuk ke bilik guru, sambil duduk di kerusi salah seorang guru.

"Ustaz!, kau bila lagi?" "orang lain hantar tunang sudah" kata guru besar dengan nada berseloroh..
Geli hati saya mendengar, buat-buat faham dan tidak saya hanya tersenyum kepada beliau tanpa sepatah kata pun. Tersentak juga saya dengan soalan beliau, soal kahwin siapalah yang tidak mahu, akan tetapi memikirkan kembali banyak lagi halangan yang perlu ditempuh, diri terasa banyak lagi kekurangan, alam perkahwinan bukan perkara yang boleh dipandang remeh, persediaan untuk berkeluarga dan sebagainya perlu diambil kira. Buat masa ini saya cuma berdiam diri, sampai masa betul-betul nanti barulah berbunyi..

"Persoalan calon sudah ada ke?" pernah juga saya ditanya soalan sedemikian, itupun saya balas dengan senyuman, mungkin senyum sebab sudah ada?atau mungkin belum ada?jawapannya?????? senyum lagi...

Hmmm..berfikir saya semasa menaiki motor pulang ke rumah.. perkara yang saya kira wajib saya tunaikan,INSYAALLAH.. Semua makhluk yang ALLAH ciptakan itu berpasangan sebagaimana ALLAH menjadikan Nabi Adam dengan pasangannya Hawa begitulah kita sebagai cucu cicit Nabi Adam dan Hawa.
Firman ALLAH dalam surah AN NISA ayat 1 :  

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٍ۬ وَٲحِدَةٍ۬ وَخَلَقَ مِنۡہَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡہُمَا رِجَالاً۬ كَثِيرً۬ا وَنِسَآءً۬‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبً۬ا (١)



Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

Read More